
EMPAT amalan terpesong Global Ikhwan Services and Business (GISB) yang membawa kesesatan digariskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Perkara itu didedahkan JAIS menerusi khutbah Jumaat di seluruh Selangor yang bertajuk “Betulkan Akidah Pengikut GISBH”, menyeru umat Islam wajib mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah berlandaskan akidah, syariah dan akhlak.
Menurut mimbar Jumaat, amalan pertama yang terpesong dalam GISBH ialah kepercayaan kepada kebangkitan semula pemimpin al-Arqam yang telah meninggal dunia seperti As-Suhaimi mati pada zahir sahaja sebaliknya ia ghaib dan lahir semula sebagai Imam Mahdi.
Amalan terpesong kedua ialah ketaksuban dan pemujaan kepada kepimpinan Ashaari Muhammad bahawa pengasas al-Arqam itu memiliki kuasa kerohanian yang luar biasa, dan ada pula dakwaan bahawa mereka percaya Sheikh Muhammad al-Suhaimi akan kembali sebagai Imam Mahdi.
“Ketaksuban dan pemujaan kepada pemimpin tidak dibenarkan dalam ajaran Islam dan boleh membawa kekufuran.
“Sebaliknya, ia suatu bentuk ketaatan kepimpinan sahaja. Ini kerana ketaatan kepada pemimpin adalah wajib dan menjadi tuntutan di sisi syarak sebagaimana dalam firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’, ayat 59,” menurut khutbah di Selangor, hari ini.
Seterusnya Khutbah Jumaat di Selangor menyatakan amalan terpesong ketiga ialah wujud unsur-unsur khurafat dan syirik dari ajaran asal Al-Arqam seperti minda Abuya adalah wahyu Tuhan, Allah akan beritahu kepada Abuya tentang sesuatu penyakit di kalangan pengikutnya serta dipercayai memiliki ramalan tentang masa depan.
“Walaupun selepas kumpulan ini diharamkan dan berubah menjadi GISBH, elemen-elemen ini masih dilihat secara tersirat dalam kepercayaan dan amalan di kalangan ahlinya,” katanya.
Manakala amalan terpesong keempat ialah kepercayaan dan amalan poligami yang tidak mengikut hukum syarak dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Justeru, khatib mengingatkan agar menolak akidah yang dipegang oleh kumpulan GISBH yang jelas bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Umat Islam hendaklah benar-benar mengenali Ahli Sunnah Wal Jamaah agar tidak keliru terhadap golongan-golongan yang memperaku bahawa mereka adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah, namun hakikatnya mereka adalah golongan yang terpesong dan menyimpang.
“Umat Islam hendaklah lebih berhati-hati dengan bersikap tabayyun dan menyelidik sebelum mengikut membuta tuli di sebalik perkataan agama dan amal atau seumpamanya dengan merujuk kepada pihak berkuasa Agama Negeri,” kata khatib.





