
KELANTANGAN Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Debat Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) menggambarkan ketegasan Malaysia di pentas antarabangsa.
Dalam ucapannya, Mohamad Hasan membuat rayuan tegas untuk pelaksanaan penuh Resolusi ES-10/24, menggesa Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bertindak tegas untuk menghentikan aktiviti penempatan haram Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).
Menurut Profesor Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, pendapat itu wajar diutarakan memandangkan Amerika Syarikat (AS) ‘kehilangan’ kuasa veto setelah setahun peristiwa genosid rejim Israel ke atas penduduk Gaza.

“Selepas hampir setahun genosid Gaza berlaku, AS sudah kehilangan asas moral sebagai sebuah kuasa besar dunia untuk terus mempertahankan kuasa veto,” katanya dalam kenyataan kepada The Malaysia Press pada Selasa.
Mohamad juga menekankan sokongan padu masyarakat antarabangsa terhadap resolusi itu dan menegaskan bahawa ia mewakili kehendak antarabangsa untuk mencapai keadilan bagi rakyat Palestin.
Bagaimanapun, beliau turut menegaskan bahawa ketidakupayaan UNSC untuk bertindak yang sebahagian besarnya disebabkan kuasa veto anggota tetap tertentu, terus menghalang kemajuan.
Sementara itu, Ahmad Fauzi berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu melakukan perubahan terhadap isu kuasa veto.
Katanya, sekiranya ia tidak dilaksanakan PBB berpotensi untuk menjadi bahan jenaka berikutan tidak berfungsi menyelesaikan isu kekejaman melibatkan rakyat Palestin.
“Kuasa veto itu perlu direformasikan kalau tidakpun dihapuskan terus.
“Jika tidak, PBB akan menjadi bahan ketawa seluruh dunia kerana ketidakmampuannya mempertahankan nyawa rakyat Palestin yang tidak bersalah,” katanya.





