
PUTRAJAYA – Sentimen ekstrem dimainkan puak ‘pelampau’ ketika sambutan perbarisan Hari Kebangsaan ke-67 dilihat bersifat prejudis dan rasis, yang bertujuan untuk meretakkan perpaduan berbilang kaum di negara ini.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, walaupun dicipta dari dua spektrum berbeza, ia tetap memberi maksud yang sama dalam mencipta persepsi negatif terhadap kerajaan persekutuan.
“Dua berita palsu ketika sambutan Hari Kebangsaan iaitu, grafik manusia hanya menggunakan tulisan Cina sedangkan realitinya terdapat banyak tulisan lain dalam bahasa berbeza, yang merupakan sebahagian daripada persembahan.
“Manakala dakwaan kedua helikopter terbang di atas perarakan membawa bendera Palestin, walhal ia membawa bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Mereka datang dari spektrum yang berbeza tetapi sebenarnya mereka memakan prasangka dan ‘paranoia’ yang wujud dalam masyarakat kita di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Syahredzan yang merupakan pemimpin DAP menyeru agar semua pihak menghentikan perbuatan menyalakan api perkauman dan meniup bara permusuhan antara agama disifatkan sebagai amat tepat pada masanya.
Menurutnya, rakyat Malaysia yang menjaga dan memelihara nilai kerukunan dan perpaduan mengikut prinsip Rukun Negara tidak akan sesekali membangkitkan sentimen perkauman.
“Kita seolah-olah terperangkap dalam perang budaya ini apabila kita harus maju ke hadapan dengan bersungguh-sungguh. Kita seharusnya mendapat kelebihan daripada keyakinan ekonomi diperbaharui yang dibawa oleh langkah-langkah ekonomi dan fiskal Kerajaan.
“Sama ada Sinophobia atau Islamophbia, kita tidak boleh sekali-kali membiarkan suara pinggiran ini bangkit mengatasi perpaduan suara keharmonian. Kita mesti sentiasa berjalan di jalan kesederhanaan, selain sentiasa berusaha mempertahankan dan menjunjung nilai teras negara ini. Kita mesti terus menolak semua bentuk ekstremisme,” katanya.
Terdahulu, wujud dakwaan mengatakan membabitkan ‘grafik manusia’ yang menunjukkan ucapan selamat datang dalam tulisan Cina dengan kapsyen mempersoalkan sama ada itu adalah kemerdekaan Malaysia atau China.
Sementara itu, berita palsu kedua dengan menggunakan kapsyen tular yang berbunyi “Bendera Palestin semasa sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia? Kita ada angkatan bersenjata yang menjijikkan. Tidak pernah mana-mana negara berdaulat mengibarkan bendera negara lain semasa sambutan hari kemerdekaannya. Semuanya mesti ada had, termasuk kebodohan”.

Bagaimanapun, kedua-dua informasi palsu tersebut mendapat kecaman daripada netizen yang menaruh harapan agar sentimen pelampau seperti itu tidak lagi dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, khususnya pembangkang.
“Sudah-sudahlah pihak lawan kerajaan, banyak lagi isu boleh dimainkan dalam membantu kerajaan memperkasa pentadbiran namun masih main lagi sentimen seperti ini. Langsung tidak matang dalam berpolitik,” kata turimansamdol.
“Hari Kebangsaan pun nak main isu seperti ini. Perangai macam inilah perlu ditolak, kita mengharapkan agar masyarakat berbilang kaum buka mata untuk tidak terhasut dengan dakyah begini yang boleh memecah belahkan rakyat,” kata orusyusri di Facebook.





