MELAKA – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang di pikul oleh Khairunnisa Mustafa, 39 apabila anaknya, Qaiser Ali Naim Kagama disahkan menghidap barah retina mata atau bilateral retinoblastoma sejak berusia lapan bulan.
Kanser itu menyerang kedua-dua belah matanya menyebabkan mata kiri terpaksa dibuang ketika berusia 10 bulan.
Kanak-kanak yang mesra disapa Naim itu juga terbatas penglihatan mata kanan kerana hanya dapat melihat pada jarak dekat sahaja.
Kisah Naim mendapat perhatian selepas ibunya memuat naik video anaknya memakai mata palsu sebelum pergi ke sekolah.
Perkongsian video itu mengundang hiba dengan rata-rata warganet mendoakan Khairunnisa diberi kekuatan menjaga dan membesarkan Naim.
Berkongsi kisahnya, Khairunnisa mengakui bukan mudah untuknya menerima kenyataan Naim menghidap barah dan matanya perlu dibuang ketika masih bayi.
“Naim dilahirkan normal namun ketika umurnya empat bulan, matanya nampak lain dan ingatkan dia juling air.
“Satu hari iaitu ketika umurnya lapan bulan, Naim menangis kuat, matanya pula merah dan bila dibawa ke klinik, doktor beri ubat sapu namun sakitnya berterusan.
“Bila disuluh dengan lampu, anak matanya tak beri tindak balas dan selepas dibawa ke hospital, doktor jalankan ujian sebelum sahkan Naim menghidap barah dua belah mata,” katanya.
Khairunnisa mengakui berat untuknya menerima hakikat itu malah mengambil masa lima tahun untuk berdamai dengan takdir.
Bagaimanapun, sokongan keluarga terutama suami, Kagama Jono, 49, dan sahabat memberi semangat kepadanys untuk menerima ketentuan Ilahi.
“Sedih dan tertekan bercampur baur selepas diberitahu doktor penyakit sebenar Naim.
“Mana tidaknya, empat tahun saya dan suami tunggu untuk dapat Naim namun diuji pula dengan perkhabaran duka itu.
“Waktu paling sukar nak terima adalah apabila doktor kata kena buang mata kiri Naim.
“Suami pun ada beritahu hasrat untuk derma matanya kepada Naim tapi tak dapat dan akhirnya kami reda kerana buat untuk tujuan kosmetik dengan harapan tiada siapa mengejeknya.
“Alhamdulillah, nampak perubahan selepas buang mata kerana sebelum itu, Naim kerap menangis namun tak lagi selepas pembedahan. Sejak itu juga, Naim mula guna mata palsu sampai ke hari ini,” katanya.
Tambahnya, Naim pernah juga bertanya apa yang berlaku kepada matanya.
“Saya beritahu Naim, matanya di syurga dan tunggu dia di sana.
“Kini, dia sudah faham dan semakin selesa dengan mata palsu malah sudah pandai pakai serta keluarkannya.
“Mata palsu itu mengikut saiz soket matanya dan buat masa ini masih sesuai namun akan datang perlu ditukar seiring peningkatan usia.
“Adiknya tahu penyakit Naim dan ada ketikanya dia macam marah dengan apa doktor buat pada abangnya kerana mungkin belum faham sangat sebab masih kecil,” katanya.
Sebagai ibu, Khairunnisa akan sentiasa berdoa semoga Allah SWT mempermudahkan perjalanan Naim dan keluarganya.
“Saya dan suami berharap Naim dapat melihat sampai akhir hayatnya, boleh uruskan diri tanpa susahkan orang lain dan jadi anak yang soleh. Dia dapat melihat sedikit pun saya sudah bersyukur.
“Niat saya berkongsi kisah Naim di TikTok pula adalah untuk memupuk kesedaran orang ramai terutama pasangan baru mendapat zuriat supaya mendapatkan rawatan awal kerana barah bilateral retinoblastoma boleh dirawat jika belum terlambat.
“Apa yang berlaku kepada anak saya kerana tak pernah tahu dan terdedah mengenai penyakit itu.
“Tak sangka pula perkongsian saya dapat perhatian dengan rata-ratanya beri komen positif dan terima kasih kepada semua yang mendoakan,” katanya.






