Ir Izham Hashim
PUTRAJAYA – Kerajaan Selangor memperuntukkan RM50,000 sebagai insentif usaha menangkap ikan Pleco yang lebih dikenali sebagai ikan bandaraya di Denai Kebangsaan, Sungai Langat, dekat Bangi.
Ia adalah antara usaha untuk memulihkan populasi ikan tempatan dan meningkatkan kualiti air di saliran itu.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, sebanyak RM1 akan diberikan secara tunai kepada pemancing bagi setiap kilogram (kg) ikan bandaraya yang berjaya ditangkap.
“Untuk kos peralatan seperti jala, kita sudah ada bajet. Kita tumpukan di sini (Denai Kebangsaan) dahulu.
“Sambutan yang saya terima dari media sosial, panggilan telefon dan sebagainya memang sangat memberangsangkan.
“Sekiranya berterusan, saya yakin kita boleh mengurangkan dan kita nak hapuskan terus (ikan bandaraya),” katanya selepas meninjau program inisiatif tangkapan ikan pleco (ikan bandaraya), hari ini.
Setakat jam 12 tengah hari tadi, lebih 200kg ikan bandaraya ditangkap.
Izham berkata, tangkapan hari ini akan diproses menjadi baja kompos dan juga makanan untuk ternakan.


