
MUAR – Seorang warga emas dari Kampung Parit Tengah, Ayer Hitam di sini, membuktikan semangat patriotik dimilikinya apabila sanggup menghias sebuah gerabak kebun yang digunakan saban hari dengan unsur kemerdekaan.
Johari Amin, 67, berkata, kenderaan yang selalu digunakan untuk meraih hasil kebun itu dipilih kerana bangga dengan kemudahan tersebut yang sering menemaninya dalam mencari rezeki.
Menurut beliau, gerabak berkenaan mula dihiasi sejak Selasa lalu menggunakan bendera Malaysia.
“Walaupun orang nampak usaha kecil, tapi bukan mudah nak hiasi dan cantikkan kenderaan yang sering digunakan berulang-alik ke kebun ini.
“Saya membersih dan mencucinya sehabis baik agar ia nampak gah dan cantik bila dibaluti Jalur Gemilang,” katanya kepada The Malaysia Press.
Menurutnya, meskipun kelihatan ringkas, namun dia akui telah berhabisan sehingga RM1,300 demi mengubah wajah kenderaan tersebut untuk dipertontonkan ke seluruh penduduk kampung.
“Mungkin bila kita guna dalam tempoh bulan Merdeka kemudian Hari Malaysia pula bulan hadapan, secara tak langsung menyuntik semangat penduduk di sini khususnya generasi muda untuk bangga mengibarkan Jalur Gemilang.
“Walaupun hiasan ini tak gah seperti sesetengah individu yang lain, tapi saya tetap gembira kerana bukan saya sahaja yang bersemangat menghias gerabak ini, namun anak dan cucu pun turut sama membantu dan bangga dengan hasilnya,” katanya.





