
KOTA BELUD – Dua rumah musnah terbakar dalam insiden berasingan di Kota Marudu dan Kota Belud, pada Khamis.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, dalam kebakaran di Kampung Tintapon Kota Belud, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 5.35 pagi.
“Sepasukan lapan anggota diketuai PBK II KUP Clarice Imoh bersama tiga jentera bergegas ke lokasi sebelum mendapati sebuah rumah separuh kekal terbakar sepenuhnya.
“Bomba kemudian memulakan operasi pemadaman api menggunakan
satu aliran 200 kaki satu pancutan menggunakan sumber air terbuka,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Operasi kemudian ditamatkan pukul 7.13 pagi.
Sementara itu di Kampung Goshen, Kota Marudu, sebuah rumah musnah terbakar sebanyak 80 peratus dalam kejadian pukul 11.37 pagi.
“Operasi memadam kebakaran kemudian dilakukan 13 anggota menggunakan sumber air dari jentera sebelum menamatkan operasi pukul 12.50 tengah hari selepas memastikan tiada bahaya lain,” katanya.
Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kedua-dua insiden tersebut.








