
PUTRAJAYA – Pendekatan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) diyakini mampu mengangkat darjat dan martabat agenda pembangunan ekonomi Bumiputera.
Pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, pelan tersebut bukan hanya sekadar cakap kosong daripada kerajaan, namun ia selaras dengan hala tuju kerangka yang digagaskan bagi tempoh jangka sederhana hingga panjang.
“Umumnya, masyarakat Bumiputera hari ini lebih baik dari dahulu. Penglibatan ekonomi dan taraf hidup semakin meningkat. Tidak dapat dinafikan.
“Namun, kita tidak dapat mengelak dari menyimpulkan kita masih belum berpuas hati, masih belum menyaksikan kejayaan yang membanggakan. Status ekonomi Bumiputera masih rapuh, mudah jejas dan tidak mampan,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press.

Mengulas lanjut, Noor Azlan berkata, PuTERA35 yang bertemakan Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan (3P) perlu dijadikan matlamat bersama serta tindakan strategik perlu dilaksana oleh pelbagai pihak yang terlibat.
Sehubungan itu, beliau yang juga Pengarah Eksekutif Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM) menegaskan, keperluan untuk memperkasakan ilmu ekonomi terhadap masyarakat Bumiputera, selain kemahiran dan bakat untuk menyertai semua sektor ekonomi, terutamanya sektor bernilai tinggi.
“Perlu juga memastikan masyarakat Bumiputera memiliki daya keusahawanan yang tinggi, memiliki perusahaan yang berdaya saing dalam sektor ekonomi yang diceburi.
“Secara keseluruhan, ia akan mewujudkan rantaian pengeluaran dan membentuk kluster berdaya saing hang menjadi ‘pemain utama’ dalam sektor ekonomi dalam dan luar negara, khususnya sektor bernilai tinggi,” katanya.
Terdahulu, PuTERA35 diperkenalkan sebagai anjakan besar dalam membawa pembangunan Bumiputera ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, selaras peredaran masa, negara memerlukan satu pelan baharu yang akan memacu agenda Bumiputera ke tahap yang lebih baik serta lebih jelas.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, keperluan untuk mengadakan program motivasi secsra berterusan, terutamanya untuk pelajar dan peniaga Bumiputera bagi memastikan mereka mempunyai semangat kental untuk menghadapi cabaran masa akan datang.

Jelasnya, dengan motivasi yang tinggi dan sikap positif, agenda pembangunan bagi golongan Bumiputera dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan berkesan.
“Sebenarnya, ekonomi Bumiputera sudah pun menunjukkan tanda peningkatan dalam penguasaan ekonomi dan kekayaan. Sebagai contoh, jumlah penyimpan di dalam simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjumlah RM500,000 dan ke atas, mencatatkan kenaikan saban tahun.
“Pada tahun lalu, penyimpan dalam ASB yang mempunyai simpanan RM500,000 dengan 30,946 pemegang unit. Angka ini tinggi jika dibandingkan pada 2016 iaitu 19,881 pemegang unit. Perkara ini bersamaan pertumbuhan purata tahunan dikompaun 6.5 peratus setahun.
“Justeru, penambahbaikan melalui PuTERA35 sudah pasti akan dapat menjayakan agenda pembangunan ekonomi Bumiputera yang lebih lestari berikutan pendekatannya yang lebih komprehensif dan terancang,” katanya.






