KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima 39 aduan berkaitan penipuan pakej umrah dan haji sejak 1 Januari hingga 25 Ogos lalu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, semua aduan itu telah diambil tindakan selain turut dirujuk ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
Menurutnya, sebanyak 183 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna 1999 berkaitan ketidakpatuhan award dikeluarkan TTPM kepada pihak penentang dan sejumlah 59 kertas siasatan berjaya diselesaikan.
“Jemaah haji atau umrah yang terbabit dalam penipuan ini juga boleh membuat tuntutan tebus rugi di TTPM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Fuziah berkata, sejak 1 Januari sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 562 kes tuntutan tebus rugi berkaitan penipuan pakej umrah difailkan di pejabat TTPM seluruh Malaysia dengan 413 kes tuntutan selesai.
Katanya, mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599), jumlah maksimum tuntutan tebus rugi adalah RM50,000.
“Sekiranya jumlah yang hendak dituntut melebihi RM50,000… maka tuntutan masih boleh difailkan di TTPM akan tetapi nilaian tuntutan ialah untuk nilai maksimum RM50,000 dan baki tuntutan selebihnya tidak boleh dituntut melainkan dipersetujui oleh Penentang.
“Bagaimanapun, ia sedikit sebanyak dapat mengembalikan sejumlah kerugian dihadapi jemaah,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melakukan semakan yang teliti sebelum membuat sebarang pembayaran kepada ejen umrah dan haji.
“Pastikan ejen yang dipilih berdaftar dengan Tabung Haji dan Kementerian Pelancongan (MOTAC) selain mempunyai rekod yang baik bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.






