
KAPIT – Kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku awal pagi ini menyebabkan jalan utama ke Empangan Baleh terputus, berikutan hujan lebat yang berterusan sepanjang malam.
Kejadian ini berlaku sekitar 5.30 pagi, apabila laporan awal diterima daripada Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kapit, Jawa Gara.
Jurutera JKR Bahagian Kapit, Jawa Gara menyatakan bahawa pasukan teknikal segera dihantar ke lokasi kejadian untuk menilai keadaan dan mengumpul maklumat lanjut.
“Bagaimanapun, liputan komunikasi yang terhad di kawasan tersebut menyukarkan proses mendapatkan maklumat terperinci,” katanya.
Beberapa kawasan yang terjejas termasuk beberapa rumah panjang dan institusi penting seperti Klinik Kesihatan (KK) Nanga Merirai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Entawau. Rumah panjang yang terlibat adalah Rumah Jantai Nanga Entalanggau, Rumah Soselly Sintau Nanga Serengat, Rumah Jack, Rumah Samun Nanga Entalawan, Rumah Jamit Sungai Sepanggil, Rumah Gima Nanga Sebiro, serta Rumah Ajat Kerangan Laih, Rumah Buli Kerangan Besai, Rumah Laso, Rumah Unggam, dan Rumah Langga Nanga Antawau.

Selain itu, beliau turut mengingatkan penduduk setempat agar berhati-hati dan mengelakkan perjalanan di kawasan terjejas sehingga keadaan kembali stabil.
Pihak berkuasa berusaha secepat mungkin untuk membuka laluan dan memulihkan keadaan di kawasan tersebut.



