
JOHOR BAHRU – Rakyat di negara ini perlu menghargai segala nikmat yang terdapat di Malaysia berbanding mengeluh sehingga hilangnya rasa bersyukur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masih ramai pihak yang kurang bersyukur sehingga berterussn mencari kesalahan dan kelemahan dalam pentadbiran kerajaan.
“Kita telah umumkan kenaikan gaji penjawat awam semalam, semalam juga dimaklumkan pertumbuhan ekonomi suku kedua kita mencapai tahap 5.9 peratus. Naik gaji, ekonomi tumbuh, negara aman tetapi masih ramai tidak bersyukur.
“Saya tiada masalah sekiranya ada pihak yang memberikan pandangan, kita akan terima tetapi pada akhirnya marilah kita sama-sama bersyukur bahawa negara kita aman dan kita mempunyai kemampuan untuk bantu rakyat negara yang berdepan dugaan dan peperangan.
“Oleh itu, kita perlulah bersyukur kepada Allah dengan semua nikmat yang ada ketika ini. Malaysia sedang berada pada landasan betul, rakyat bersatu padu, kerajaan kian utuh jadi janganlah sampai tidak reti untuk bersyukur langsung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat Zon Selatan 2024 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Tambah Anwar, pihaknya sehingga kini masih menerima cercaan dan dakwaan yang mengatakan beliau adalah ejen Yahudi dan ejen Israel walaupun pendiriannya selama ini tegas bersama perjuangan rakyat Palestin.
“Orang cerca kita ejen Yahudi, ejen Israel, bukan sahaja orang di kampung-kampung yang percaya tetapi ada juga segelintir penjawat awam yang percaya dengan dakwaan itu,” katanya.





