
MIRI – Kompleks Gua Taman Negara Niah di Sarawak diiktiraf sebagai tapak warisan Arkeologi dunia.
Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), pengiktirafan itu diumumkan pada pukul 7 malam waktu tempatan ketika sesi mesyuarat jawatankuasa warisan dunia ke-46 berlangsung bermula pukul 21 dan berakhir 31 Julai di New Delhi, India.
Menurut kenyataan itu, pengiktirafan berprestij berkenaan telah diputuskan oleh 21 ahli Negara Anggota Jawatankuasa Warisan Dunia yang dipengerusikan oleh wakil dari India.
Pengiktirafan itu menyaksikan Malaysia secara keseluruhannya berjaya menyenaraikan lima Tapak Warisan Dunia Unesco termasuk Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Kinabalu pada 2000, Bandar Bersejarah Selat Melaka dan Georgetown (2008) serta Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012).
Menurut Motac, penyenaraian di bawah Senarai Warisan Dunia Unesco dikejar oleh seluruh negara kerana ia adalah pengiktirafan tertinggi diperingkat dunia bagi tapak warisan. Motac turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan oleh pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri Sarawak dalam memastikan usaha pencalonan dapat berjalan dengan lancar.
Sehingga kini, sejumlah 1,199 kawasan dari seluruh dunia telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia dibawah Konvesyen Perlindungan Warisan Budaya dan Semula Jadi Dunia 1972 dan Malaysia kini berusaha dalam mencalonkan beberapa lagi kawasan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco iaitu FRIM Forest Park Selangor, Taman Negeri Royal Belum dan Pusat Kawalan Kusta Negara.
Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Saleh pula berkata, pengiktirafan oleh Unesco menekankan kepentingan global Taman Negara Niah sebagai tapak nilai sejagat yang menakjubkan.
“Ia adalah bukti komitmen kami untuk memelihara dan melindungi warisan semula jadi serta budaya kita untuk generasi akan datang,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa inskripsi Taman Negara Niah dalam Senarai Warisan Dunia adalah kemuncak usaha berdedikasi selama bertahun-tahun oleh pelbagai pihak berkepentingan termasuk Perbadanan Perhutanan Sarawak, komuniti tempatan, penyokong pemuliharaan dan Kerajaan Malaysia.
“Pengiktirafan berprestij ini dijangka meningkatkan usaha pemuliharaan, menggalakkan pelancongan mampan dan memupuk kerjasama antarabangsa yang lebih besar dalam memelihara warisan dan ternilai di taman itu,” katanya.




