
SERAMAI 150,000 rakyat Malaysia yang layak menerima subsidi di bawah Program Bantuan Subsidi MADANI RON95 (BUDI95) dikenal pasti masih belum mengemas kini maklumat Lesen Memandu Malaysia (LMM), menyebabkan mereka berisiko terlepas menikmati subsidi petrol RON95 yang ditawarkan kerajaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jumlah tersebut bersamaan dengan 0.88 peratus daripada hampir 17 juta individu yang layak di bawah program berkenaan, namun maklumat mereka belum lengkap dalam sistem disebabkan penggunaan nombor kad pengenalan yang tidak standard.
Beliau menjelaskan bahawa individu terlibat terdiri daripada tiga kategori utama. Pertama, pemegang lesen yang memohon LMM menggunakan dokumen pengenalan diri seperti nombor kad pengenalan lama, nombor Sijil Kelahiran Malaysia (SKM), serta nombor pengenalan diri tentera dan polis.
Kedua, mereka yang masih menggunakan Lesen Memandu Pasukan yang dikeluarkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta belum memohon pertukaran kepada LMM.
Ketiga, mereka yang mempunyai kesilapan pada nombor kad pengenalan atau berstatus ‘red-flag’ yang memerlukan semakan lanjut pihak berkuasa.
Justeru, Anthony menggesa individu dalam kategori tersebut untuk segera ke mana-mana pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi tujuan pengesahan cap jari dan kemas kini maklumat.
“Kementerian Pengangkutan (MoT) komited sepenuhnya untuk membantu semua warganegara Malaysia yang sah dalam kategori ini bagi membuat pengemaskinian data LLM.
“Data yang dikemaskini akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan bagi tujuan pengesahan dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan jika tiada sebarang isu berbangkit atau ‘red-flag’, maklumat individu itu akan terus dikemaskini dalam sistem BUDI95.
“Dalam hal ini juga, mana-mana pesara tentera atau polis yang masih belum membuat pertukaran Lesen Memandu Pasukan kepada LMM diseru untuk tampil ke mana-mana pejabat JPJ berdekatan dan melaksanakan proses pertukaran sedia ada bagi mengelakkan sebarang isu berbangkit, sekali gus dapat menikmati inisiatif BUDI RON95,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media berkaitan pelaksanaan BUDI RON95 yang diadakan di kementeriannya, di Putrajaya, hari ini.
Menurutnya, bermula hari ini, kira-kira 16 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad serta lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter, berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter, menerusi inisiatif BUDI95.
Semua individu yang layak akan menerima kuota maksimum pembelian RON95 bersubsidi sebanyak 300 liter sebulan, seperti ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Mengulas lanjut, Anthony berkata, hampir 70,000 daripada individu terbabit masih menggunakan nombor kad pengenalan lama yang belum dikemas kini kepada nombor kad pengenalan 12 digit, menyebabkan sistem BUDI95 tidak dapat mengesahkan kelayakan mereka.
“Individu ini, jika mereka ke pam minyak, tidak akan dapat harga subsidi, jadi sudah tentu akan rasa gelisah dan mempersoalkan kenapa mereka tidak layak.
“Sebenarnya bukan tidak layak tetapi mereka belum kemaskini berikutan isu kad pengenalan itu, jadi saya harap mereka jangan bimbang. Periksa dulu nombor kad pengenalan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anthony memaklumkan bahawa bagi warganegara Malaysia yang memegang lesen memandu Singapura, JPJ kini sedang membangunkan satu sistem pendaftaran dalam talian khusus untuk golongan tersebut. Usaha ini dijangka siap dalam tempoh satu hingga dua minggu.
“Jika mereka ambil lesen Singapura, data itu tidak diintegrasikan dengan data kita dalam sistem JPJ. Kita tidak boleh integrasi dengan data Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura kerana bidang kuasa yang berlainan.
“Justeru, saya minta golongan ini memberikan kita sedikit masa dan kita akan selesaikan isu ini dalam kadar segera,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa terdapat peningkatan ketara dalam jumlah permohonan pembaharuan LMM sejak pelaksanaan BUDI95 diumumkan, iaitu daripada purata 17,000 permohonan sehari kepada 27,000 permohonan.





