
KOTA KINABALU – Seramai 137 bakal jemaah haji dari Sabah berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai sebahagian daripada persiapan mereka untuk menunaikan ibadah haji melalui inisiatif ‘Makkah Route’.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ‘Makkah Route’ ini merupakan tahun yang keenam dilaksanakan yang mempunyai keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi kepada jemaah haji Malaysia.
“Sebelum inisiatif ini diperkenalkan jemaah haji Malaysia perlu melalui prosedur imigresen yang panjang sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah atau Lapangan Terbang Madinah.
“Proses ini kadangkala mengambil masa sehingga empat hingga lima jam.
“Bakal jemaah haji akan melalui satu ruang dan kawasan imigresen Arab Saudi maknanya ada bangunan yang sama seolah-olahnya tuan-tuan dan puan-puan telah sampai di Arab Saudi tapi masih lagi di Malaysia.
“Hanya perlu melalui pemeriksaan imigresen Arab Saudi di KLIA sebelum berlepas,” katanya ketika berucap dalam Majlis Meraikan Keberangkatan Jemaah Haji Negeri Sabah, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, pihaknya menasihati para tetamu Allah yang terpilih pada tahun ini untuk mengekalkan tahap disiplin yang tinggi di samping mematuhi saranan daripada pihak Tabung Haji (TH) dan segala peraturan pihak kerajaan Arab Saudi demi kesejahteraan para jemaah.
“Bakal jemaah haji negeri Sabah perlu mematuhi dan menghormati peraturan serta undang-undang kerajaan Arab Saudi dengan mengelakkan diri dari terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang tuan rumah.
“Ikuti segala arahan TH dan fokus kepada ibadat untuk mencapai haji mabrur,” ujarnya.
Beliau berkata, bagi musim haji tahun ini Sabah mencatatkan keseluruhan jemaah seramai 962 orang di mana 395 orang terdiri daripada jemaah lelaki dan 567 orang adalah jemaah wanita.






