
KINABATANGAN – Sebanyak 11 ekor gajah ‘Pygmy Borneo’ termasuk seekor anak gajah berjaya diselamatkan selepas terperangkap di dalam sebuah kolam air terbiar berhampiran Hutan Simpan Deramakot di Ladang FGV Cepat Ringgit B, di sini baru-baru ini.
Menurut kenyataan dikongsi Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah di Facebook 5R Hidupan Liar, kejadian yang berlaku minggu lalu itu dipercayai berpunca daripada keadaan tebing kolam yang curam dan licin menyebabkan kawanan gajah terbabit tidak dapat keluar sendiri.
Susulan laporan diterima, pasukan Jabatan Hidupan Liar (JHL) daerah Kinabatangan bergegas ke lokasi bagi melaksanakan operasi menyelamat.
“Operasi tersebut dijalankan dengan membentuk laluan keluar yang lebih landai dan selamat bagi membolehkan kesemua gajah berkenaan keluar dari kolam berkenaan.
“Hasil usaha serta kerjasama pelbagai pihak, kesemua 11 ekor gajah itu berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius dilaporkan,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
Dalam kenyataan sama, pihak JHL turut mencadangkan kepada ladang tersebut supaya kolam terbiar terbabit ditutup atau dipasang halangan keselamatan bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa akan datang.
Dalam pada itu, JHL merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk pekerja ladang yang menyalurkan maklumat awal sehingga operasi menyelamat dapat dijalankan dengan segera.
“Kejayaan operasi itu membuktikan kerjasama antara agensi kerajaan, pihak ladang dan masyarakat amat penting dalam usaha memelihara keselamatan hidupan liar di Sabah.
“Setiap tindakan kecil dan laporan awal daripada orang awam mampu memberi impak besar dalam usaha melindungi spesies ikonik Sabah untuk generasi akan datang,” menurut kenyataan itu lagi.







