LEE Zii Jia menepati ramalan apabila mencatat kemenangan pertama di Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menewaskan pemain Sri Lanka, Viren Nettasinghe, petang tadi.
Pemain perseorangan lelaki negara itu mencatat kemenangan 21-14, 21-12 dalam aksi Kumpulan G di Porte de La Chapelle Arena.
Kemenangan itu meletakkan Zii Jia yang juga bekas juara Seluruh England di landasan tepat untuk memburu kedudukan selaku juara kumpulan sekali gus mengesahkan tiket ke pusingan 16 terakhir.
Dia dijadual bertemu pemain berpengalaman Sepanyol, Pablo Abian, Rabu ini yang dijangka menjadi penentu gelaran juara dan naib juara kumpulan.
Mengikut format pertandingan, hanya juara kumpulan dalam acara perseorangan mendapat tiket pusingan 16 terakhir.






