KOTA MARUDU – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Zaidi Jatil menewaskan Setiausaha PKR Sabah, Sazalye Donol Abdullah yang juga Ketua Cabang sebelum ini, dalam pertandingan empat penjuru bagi saingan Ketua Cabang Kota Marudu yang baharu.
Zaidi mencatat kemenangan dengan meraih 1,031 undi, menewaskan Julius Majawai (648 undi), Sazalye Donol Abdullah (512 undi) dan Jasmon Jaji (182 undi).
Menurut keputusan rasmi melalui (Borang 14), sejumlah 2405 kertas undi telah dikeluarkan daripada 2909 ahli yang layak mengundi di Cabang Kota Marudu.
Keputusan itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Dr Zaliha Mustafa.
Menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, Zaidi menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga PKR Cabang Kota Marudu atas sokongan dan keyakinan yang diberikan.
“Terima kasih kepada seluruh anggota PKR Cabang Kota Marudu atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memikul amanah sebagai Ketua Cabang PKR Kota Marudu bagi sesi 2025–2028.
“Saya sedar bahawa amanah ini bukan sekadar jawatan, tetapi satu tanggungjawab besar yang menuntut kesungguhan, keikhlasan dan keberanian.
“Saya berikrar untuk bekerja sebaik mungkin demi memperkukuh parti, menjaga kebajikan anggota, serta memastikan PKR terus berkembang dan teguh di bumi Kota Marudu,” katanya pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata pemilihan sudah selesai dan semua ahli perlu kembali bersatu sebagai keluarga besar PKR Kota Marudu.
“Yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua.
“Kemenangan sebenar adalah apabila kita semua bersama membina parti yang kuat, berprinsip dan berjiwa rakyat.
“Saya juga ingin memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekhilafan, keterlanjuran kata atau tindakan sepanjang tempoh berkempen sama ada secara sedar mahupun tidak,” ujarnya.




