CYBERJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa bagi membincangkan krisis politik di Negeri Sembilan.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) memaklumkan, perbincangan itu penting bagi meneliti penyelesaian dalam menyelesaikan krisis tersebut secara holistik serta pragmatif.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri itu enggan mengulas masa dan lokasi pertemuan tersebut.
“Itu sebabnya perbincangan dengan Perdana Menteri penting dan masalah politik perlu selesai guna saluran politik dan bukan kaedah lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN Ke-54 dan Pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0, pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pengamal media mengenai kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh berhubung usaha membentuk kerajaan tebuk atap.
Tambahnya, pendiriannya kekal konsisten sejak berlaku Langkah Sheraton pada 2020 sehingga kini, iaitu menolak pembentukan kerajaan melalui pendekatan ‘tebuk atap’, serta menegaska masalah politik harus diselesaikan secara politik.
Terdahulu, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan beliau akan meneruskan tugas sebagai Menteri Besar selain pentadbiran kerajaan negeri akan berfungsi seperti biasa selaras dengan apa dititahkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Dalam konteks ini, Aminuddin telah mempersembahkan kedudukan terkini kepada Tuanku, yang kemudiannya menitahkan supaya pentadbiran negeri diteruskan sehingga terdapat kejelasan muktamad mengenai situasi itu.
Seramai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan (ADUN) Barisan Nasional (BN) mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin, sekali gus menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sedia ada.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyifatkan, keputusan itu dicapai secara sebulat suara oleh kesemua ADUN.



