POLIS mengesahkan memang terdapat aktiviti mengorek tanah dilakukan berhampiran lokasi letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights Subang Jaya pada 30 Mac lalu.
Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya perlu menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan sama ada kerja pengorekan tanah itu adalah punca kejadian terbabit.
Jelasnya, terdapat tiga unsur yang mungkin mendorong insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights itu membabitkan gas, udara dan percikan api.
Setakat ini katanya, seramai 56 saksi sudah dipanggil untuk menjalani sesi rakaman percakapan bagi membantu siasatan insiden terbabit.
“Kerja mengorek tanah dibuat bagi menggantikan paip kumbahan, terletak kira-kira 30 meter (m) dari lokasi letupan. Namun, kita belum mengenal pasti sama ada mereka turut membuat kerja pada hari pertama Aidilfitri atau sebaliknya.
“Berdasarkan keterangan saksi, eskavator yang dilihat pada hari terbabit dikatakan mahu dibawa keluar dari tapak projek, tetapi mereka dikatakan tidak sempat berbuat demikian.
“Terdapat tiga paip gas natural yang membawa bahan berkenaan dari Terengganu ke selatan dan utara Semenanjung serta Thailand.
“Ketika kejadian, satu daripada tiga paip terbabit dikesan pecah, menyebabkan kebocoran gas yang mengakibatkan letupan terbabit,” katanya pada sidang media di Subang Jaya, hari ini.
Dalam pada itu, polis turut mengesahkan Petronas memiliki sistem untuk mengesan sebarang kebocoran yang mungkin berlaku pada setiap saluran paip gas bawah tanah milik syarikat itu.
Justeru, Hussein Omar berkata, pasukan penyiasatan ketika ini sedang mendapatkan data daripada sistem berkenaan bagi menentu dan mengesahkan sama ada terdapat kebocoran pada paip gas berusia 30 tahun di lokasi kejadian.
“Petronas menerusi maklum balas awal memberitahu tiada sebarang amaran berkaitan kebocoran gas pada paip bawah tanah yang terletak di lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, kita perlu mendapatkan butiran terperinci menerusi sistem berkenaan bagi memastikan benar-benar tidak berlaku kebocoran pada laluan paip terbabit,” katanya.





