PUTRAJAYA – Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyambut baik cadangan kerajaan untuk mempertimbangkan langkah tambahan ke arah pelaksanaan waktu kerja lebih anjal, termasuk pendekatan bekerja dari rumah (WFH).
Setiausaha Agung Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Mohd Effendy Abdul Ghani berpendapat, langkah itu dilihat mampu memberi manfaat yang signifikan kepada kedua- dua pihak pekerja dan majikan.
Bagi pekerja, katanya, cadangan itu dapat mengurangkan kos sara hidup harian khususnya kos pengangkutan seperti petrol, tol dan parkir, selain meningkatkan keseimbangan kerja dan kehidupan manakala majikan berpotensi mengurangkan kos operasi termasuk penggunaan utiliti serta keperluan ruang pejabat.
“UNI-MLC ingin menegaskan bahawa pelaksanaan WFH tidak boleh dijadikan alasan untuk memindahkan risiko dan kos operasi kepada pekerja atau melemahkan perlindungan sedia ada serta pengurangan pendapatan.
“Sebaliknya, ia mesti dilaksanakan secara adil, telus dan melalui rundingan bersama bagi memastikan kepentingan pekerja terus terpelihara,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Sehubungan itu, Mohd Effendy berpandangan, keperluan untuk kerajaan memperkenalkan garis panduan
nasional berkaitan pelaksanaan WFH, serta menggalakkan kemasukan klausa khusus dalam Perjanjian Kolektif bagi memperincikan hak, tanggungjawab dan perlindungan kepada pekerja.

Menurut beliau, pendekatan kerja anjal merupakan satu langkah progresif ke hadapan namun mesti dilaksanakan secara seimbang tanpa menjejaskan hak pekerja, di samping memperkukuh
kesejahteraan dan produktiviti secara menyeluruh
“Pelaksanaan WFH perlu disokong dengan garis panduan jelas dan komprehensif bagi memastikan tiada elemen ketidakadilan terhadap pekerja. Antara perkara utama perlu diberi
perhatian skop pekerjaan yang sesuai, penetapan waktu kerja jelas serta perlindungan terhadap hak pekerja untuk tidak diganggu di luar waktu kerja (right to disconnect).
“Aspek boleh menjejaskan kesihatan mental pekerja juga perlu diberi perhatian serius, termasuk risiko beban kerja berlebihan, tekanan untuk sentiasa responsif di luar waktu kerja, kekaburan sempadan antara kehidupan kerja dan peribadi, serta pengasingan sosial yang boleh membawa kepada stres serta
keletihan emosi.
“Dalam konteks ini, majikan perlu memastikan pengurusan kerja yang munasabah dan beretika, selaras dengan prinsip kesejahteraan pekerja,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Effendy memaklumkan, pekerja juga perlu dibekalkan dengan peralatan kerja sesuai dan mencukupi bagi melaksanakan WFH dengan berkesan, selain tidak memberi tekanan kepada pekerja untuk menyediakan kelengkapan itu sendiri susulan menambah beban kewangan serta bercanggah dengan prinsip keadilan industri.
“Sebarang perubahan kepada struktur atau kaedah kerja perlu melalui proses rundingan bersama selaras dengan prinsip di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Pelaksanaan secara unilateral tanpa perundingan menimbulkan pertikaian industri dan menjejaskan keharmonian hubungan perusahaan,” katanya.
Tambahnya, elemen keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) perlu diberi perhatian serius sebagai keutamaan utama, khususnya dalam kaedah kerja seperti pelaksanaan WFH atau sistem kerja fleksibel tidak boleh mengabaikan aspek ergonomik, keselamatan tempat kerja di rumah, pengurusan tekanan kerja serta risiko kesihatan mental yang semakin meningkat.
“Walaupun pendekatan ini mampu kurangkan kos majikan dan pentadbiran, isu berkaitan keselamatan serta kesihatan pekerja tidak boleh dipandang ringan. Sebaliknya, perlu diperkukuh melalui garis panduan jelas serta pemantauan berterusan.
“Ini juga anggungjawab bersama antara majikan dan pekerja bagi memastikan kesejahteraan tenaga kerja sentiasa terpelihara,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan pelaksanaan peraturan kerja lebih anjal termasuk bekerja dari rumah (WFH) secara berperingkat.
Beliau yang mengumumkan perkara itu menerusi perutusan khas, pada Khamis memaklumkan, penjawat awam akan dibenarkan bekerja dari rumah secara terpilih mengikut keperluan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menggesa sektor swasta melaksanakan pendekatan sama seperti yang telah diamalkan oleh beberapa syarikat dan institusi perbankan sebelum ini.




