
WOLRD Central Kitchen (WCK) mengumumkan bahawa ia telah menghentikan operasinya di Semenanjung Gaza kerana kehabisan bekalan, pada Rabu.
Menurut WCK, mereka kini tidak lagi mempunyai bekalan untuk memasak atau membakar roti di Gaza, selepas menyediakan lebih daripada 130 juta hidangan makanan dan 26 juta roti sepanjang 18 bulan lalu.
Sejak 2 Mac, Israel telah menutup lintasan masuk ke Gaza bagi makanan, perubatan dan bantuan kemanusiaan, memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sudah pun parah di wilayah itu.
“WCK tidak dapat menambah stok makanan yang kami gunakan untuk memberi makan kepada ratusan ribu rakyat Gaza setiap hari sejak Israel menutup lintasan sempadan pada awal Mac.
“Walaupun begitu, kami masih menyokong keluarga Palestin dengan mengagihkan air bersih yang sangat diperlukan di mana ia boleh dilakukan,” tambahnya, lapor Anadolu.
WCK menegaskan bahawa trak yang membawa makanan dan bahan api memasak telah bersiap sedia di sempadan Gaza sejak awal Mac.
Mereka juga menyatakan bahawa bekalan makanan dan peralatan tambahan turut menunggu untuk dihantar dari Jordan dan Mesir ke sempadan.
“Usaha penting kami tidak dapat diteruskan tanpa kebenaran daripada pihak Israel untuk membenarkan bantuan ini masuk,” jelas kenyataan itu.
Sejak Oktober 2023, lebih 52,600 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terkorban akibat serangan agresif oleh Israel di Gaza.