
TAWAU – Kehadiran pemimpin nombor satu negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad sempena Program MADANI Rakyat 2025 (PMR) di Tawau disifatkan sebagai tanda keprihatinan yang menjadi platform aspirasi rakyat daerah ini didengari.
Penduduk Tawau, Syria Managolla berkata, ini turut menunjukkan Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri (PMX) amat prihatin terhadap rakyat di kawasan pedalaman yang selama ini sering berdepan pelbagai kekangan dari sudut pembangunan, kemudahan asas dan peluang ekonomi.
“Saya melihat kunjungan ini sebagai satu titik tolak kepada perubahan positif yang lebih besar untuk rakyat Sabah, khususnya penduduk di Tawau yang sudah pasti membuka ruang seluas-luasnya untuk menyuarakan keperluan sebenar rakyat termasuk pembangunan infrastruktur, peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan serta pemerkasaan wanita dan belia.
“Langkah PMX untuk turun sendiri ke sini memberi satu mesej yang jelas bahawa tidak ada satu kawasan pun yang akan dipinggirkan dalam agenda Malaysia MADANI,” katanya kepada wartawan The Malaysia Press.

Sehubungan itu, Syria berharap agar rakyat turut memberi sokongan penuh agar segala dasar dan inisiatif yang ingin dilaksanakan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan bersama.
Bagi Mas Ayla Abd Sarah, 28, turut senada bahawa kehadiran PMX membawa harapan besar agar suara anak muda turut diberi perhatian.
“PMX sering kali membawa mesej keadilan dan generasi masa hadapan, oleh itu saya berharap agar suara anak muda lebih didengari termasuk dalam membuat keputusan yang lebih pro rakyat atau mengutamakan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Siti Fatimah Untai juga menzahirkan keterujaan dengan kehadiran PMX ke Tawau sempena PMR 2025.
Beliau juga percaya kehadiran PMX akan membawa perubahan kepada insfrastruktur daerah dan peluang ekonomi termasuk di daerah kecil Kalabakan.
“Apa yang saya harapkan adalah kemudahan insfrastruktur terutamanya jalan raya dari bandar Tawau ke Kampung Rancangan Kalabakan dapat diturap dan diberi perhatian penuh.
“Ini kerana keadaan jalan yang rosak boleh menyebabkan kerosakan pada kenderaan serta mengundang bahaya kepada pengguna jalan,” ujarnya.