
KOTA KINABALU – Seorang wanita warga emas ditemukan maut dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Mansiang, Menggatal, pada malam Isnin.
Mangsa dikenali sebagai Momoi, berusia sekitar 80 tahun, tinggal bersendirian dan difahamkan mempunyai tiga anak yang tidak tinggal bersama serta kurang dikenali penduduk setempat.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Polis (ACP) Kasim Muda, mangsa tersebut ditemukan di tingkat bawah rumah, berhampiran tangga dalam keadaan terbaring dan ditindih almari.
Tambah Kasim, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira pukul 8.26 malam menerusi panggilan kecemasan MERS 999 yang dibuat oleh orang awam.
“Pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, melibatkan Balai Bomba Lintas dan Sembulan, tiba di tempat kejadian dengan kekuatan dua pegawai, 18 anggota serta tiga jentera.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.54 malam,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini pada Selasa.
Menurut saksi kejadian, api dipercayai bermula dari tingkat atas rumah dan merebak dengan pantas.
Kasim berkata, punca kejadian masih dalam siasatan pihak bomba dan wakil dari Sabah Electricity Sdn. Bhd. turut hadir bagi membantu siasatan.
Sehubungan itu, Ketua Polis Balai Manggatal memohon kerjasama orang ramai untuk membantu mengesan waris atau ahli keluarga mangsa.
Mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Sub Inspektor Badrizaman Abdol Rahman, Ketua Polis Balai Menggatal di talian 012-5095773.





