
BALAI RINGIN – Usaha memperkasa sukan pickleball di Sarawak terus dipergiat menerusi pelancaran Program Komuniti Pikabol sempena pembukaan rasmi Mini Stadium Balai Ringin baru-baru ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan mewakili Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah
Menurut beliau, inisiatif tersebut perlu diberi sokongan yang penuh dalam usaha memupuk gaya hidup sihat dan mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat.
Program anjuran PIKABOL Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pickleball Kuching (KPA) itu turut membuka ruang penyertaan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan latar belakang.
Pengarah Urusan PIKABOL Malaysia Oscar Choo berkata pihaknya menyumbangkan dua set jaring pickleball kepada komuniti Balai Ringin sebagai simbol sokongan terhadap pembangunan sukan di kawasan luar bandar.
“Kami mahu semangat kesukanan ini dipupuk dari peringkat akar umbi dan memberi impak jangka panjang kepada rakyat Sarawak,” katanya.
Presiden KPA Ruslan Bujang pula berkata, sesi demonstrasi permainan turut diadakan bagi menarik minat penduduk setempat terutama generasi muda untuk menceburi sukan itu.
Sementara itu, PIKABOL Malaysia yang berpangkalan di Kuching kini memiliki 16 gelanggang lengkap dan bersedia menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa, menjadikannya fasiliti pickleball terbesar serta paling maju di negeri ini.




