PUTRAJAYA – Kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap kenyataan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, yang dikaitkan dengan penghinaan terhadap sahabat Nabi Muhammad SAW.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini susulan reaksi meluas masyarakat terhadap kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh berkenaan.
Beliau berkata, Jemaah Menteri memandang serius isu terbabit dan menyifatkan kenyataan yang dibuat itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.
“Jemaah Menteri dimaklumkan terdapat sejumlah laporan polis yang sudah dan sedang dibuat, maka kita serah kepada pihak berkuasa, terutama mungkin majlis atau jabatan agama berkaitan untuk melakukan siasatan.
“Bagaimanapun, sehingga sekarang, respons dalam media sosial itu sangat panas mengenai isu ini dan kita faham,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Terdahulu, Nik Zawawi tampil memohon maaf secara terbuka serta menarik balik kenyataan yang mengaitkan sahabat Rasulullah SAW dengan istilah ‘bapa ceti’ dan ‘kaki zina’ dalam satu ceramah politik di Kuala Terengganu, Ahad lalu.
Beliau mengakui berlaku kekhilafan dalam penyampaian sehingga menimbulkan kontroversi dan menyinggung perasaan banyak pihak.
Kenyataan itu mencetuskan kritikan daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin Pas sendiri.Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar, sebelum ini turut menegur kenyataan berkenaan dan menegaskan kedudukan sahabat Rasulullah SAW perlu dipelihara serta dihormati.






