
KABONG – Keprihatinan Kerajaan Negeri Sarawak terhadap kesejahteraan warga emas sekali lagi terbukti apabila Kabong dipilih sebagai lokasi Sesi Libat Urus Senior Citizen Health Benefit (SCHB) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) yang berlangsung di Dewan Balai Polis Kabong pada Rabu malam.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir, skim SCHB yang menyediakan sokongan kesihatan percuma tanpa tunai bernilai sehingga RM500 setahun untuk setiap warga emas adalah bukti keprihatinan Kerajaan Negeri.
“SCHB bukan sekadar skim kebajikan, tetapi satu jaminan kesihatan bagi memastikan warga emas di Sarawak mendapat rawatan lebih baik dan mudah dicapai,” katanya.
Program libat urus ini turut memberi ruang kepada masyarakat setempat melontarkan pandangan, cadangan dan aduan demi menambah baik pelaksanaan skim berkenaan.
Majlis malam tadi turut menyaksikan beberapa penyampaian bantuan termasuk Mock Cheque Bantuan Warga Emas (BME), Kenyalang Gold Card (KGC), Bantuan Ihsan Kematian (BIK), Kad Orang Kurang Upaya (OKU), Senior Citizen Health Benefit (SCHB) serta sijil penghargaan kepada pelajar latihan industri.
Dalam perkembangan lain, Mohd Chee turut mengumumkan kelulusan projek membina baharu Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kabong melalui Betong Division Development Agency (BDDA) dengan peruntukan sebanyak RM800,000.
Terdahulu, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohamad Razi menyempurnakan Soft Launching PAWE Kabong yang akan dibina di Kampung Simpang 4.
PAWE Kabong menjadi yang ke-21 di Sarawak, sekali gus memperkukuh jaringan sokongan sosial dan aktiviti khusus warga emas di negeri ini.
Kehadiran barisan kepimpinan negeri di majlis ini jelas menggambarkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan golongan warga emas terus menikmati kesejahteraan menyeluruh melalui inisiatif kesihatan, kebajikan dan pembangunan komuniti.




