PUTRAJAYA – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengiktiraf kejayaan Malaysia memudah cara perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand sebagai pencapaian besar yang memperlihat kewibawaan negara dan keteguhan ASEAN.
Pengiktirafan itu dizahirkan Trump menerusi perbualan telefon bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Dalam perbualan telefon itu juga, Perdana Menteri menegaskan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk terus berperanan proaktif dalam memastikan keamanan serantau, khususnya berkaitan isu Kemboja dan Thailand.
“Dalam perbualan telefon bersama Presiden Donald Trump sebentar tadi, saya tegaskan komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk terus memainkan peranan proaktif dalam memastikan keamanan serantau, khususnya terkait isu Kemboja-Thailand.
“Presiden Trump mengiktiraf kejayaan Malaysia memudah cara perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand sebagai pencapaian besar yang memperlihatkan kewibawaan Malaysia dan keteguhan ASEAN.
“Saya turut sampaikan penghargaan kepada beliau atas peranan yang dimainkan oleh AS dalam memastikan gencatan senjata terbabit tercapai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Perbualan telefon itu berlangsung ketika Anwar menerima kunjungan hormat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat, Jamieson Greer, yang kini berada di Malaysia sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-57 dan mesyuarat berkaitan.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, Malaysia menantikan kehadiran Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan.
Beliau berkata, sidang kemuncak itu akan menjadi platform penting ke arah mengukuhkan kerjasama demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.
Pada 28 Julai lalu, Thailand dan Kemboja mencapai persefahaman untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat bagi menghentikan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.
Kejayaan itu diumumkan Perdana Menteri selaku hos, Pengerusi ASEAN dan saksi bagi Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Mesyuarat khas terbabit dihadiri Pemangku Perdana Menteri Thailand pada waktu itu, Phumtham Wechayachai, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.







