WANITA UMNO menyambut baik terhadap inisiatif-inisiatif yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 yang inklusif meliputi semua lapisan masyarakat terutamanya golongan warga emas.
Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berpandangan, terdapat beberapa langkah serta usaha lebih serius perlu diambil oleh kerajaan dalam mendepani negara menjelang 2030.
“Ini termasuklah meningkatkan sistem penjagaan kesihatan melatih lebih ramai pakar kesihatan dalam bidang penjagaan warga emas seperti memperkenalkan insentif kewangan untuk menggalakkan simpanan jangka panjang dengan menggalakkan penyelidikan dalam bidang penuaan sihat dan teknologi berkaitan penuaan dan meningkatkan kesedaran awam tentang keperluan dan cabaran warga emas.
“Wanita UMNO berpandangan kerajaan perlu merancang dengan teliti dan mengimplementasikan dasar-dasar ini secara berperingkat untuk memastikan Malaysia bersedia menghadapi cabaran negara menua sambil memaksimumkan potensi dan sumbangan warga emas kepada masyarakat dan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sementara itu, Noraini berkata, Wanita UMNO akan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan dalam menjayakan setiap inisiatif yang telah dirancang untuk kesejahteraan rakyat.
Semalam, Anwar mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk kebajikan warga emas dalam pembentangan Belanjawan 2025.
Menurut Anwar, peruntukan itu akan digunakan untuk membiayai bantuan tunai, wang saku bagi institusi warga emas, dan pusat aktiviti warga emas.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, mencadangkan pelepasan cukai pendapatan individu yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan dan sukan turut disemak semula untuk melindungi kebajikan warga emas.







