
SARATOK – Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka menggariskan pelbagai strategi dan gerak kerja bagi tahun 2026 dalam usaha memperkasa penyampaian agenda kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohammad Duri berkata, perancangan rapi itu penting bagi memastikan rakyat terus memahami dasar serta pencapaian kerajaan negeri melalui penyampaian maklumat yang tepat.
Menurutnya, perbincangan mengenai hala tuju tersebut telah diadakan dalam satu perjumpaan khas bersama kepimpinan sayap wanita di Pusat Khidmat ADUN Kalaka, pada Khamis.
“Pergerakan Wanita, Pemuda, Belia 1828 dan Bapa merupakan tunjang kekuatan PBB.
“Mereka memainkan peranan amat kritikal dalam menerangkan inisiatif dan kejayaan kerajaan GPS kepada masyarakat desa,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohammad menegaskan sayap wanita bukan sekadar berfungsi sebagai jentera parti semata-mata, sebaliknya menjadi platform untuk membina modal insan.
“Gabungan pergerakan wanita ini menjadi wadah untuk memperkasa kepimpinan, menambah ilmu serta membina jaringan kerjasama demi menyokong pembangunan Sarawak yang inklusif,” ujarnya.
Program yang dirangka sepanjang tahun 2026 itu turut memberi fokus kepada aspek kebajikan rakyat di samping memperkukuh semangat kebersamaan dalam parti.
Turut hadir Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Kalaka, Lela Ali serta ketua-ketua ranting kawasan berkenaan.
Foto: FB ADUN Kalaka







