
KOTA KINABALU – Ahli Kelab Penyokong Sukan Malaysia, Yap Ken Vu berasal dari Tenom bangga memperagakan baju etnik Kadazan Dusun sambil menari Sumazau di Olimpik Paris 2024.
Beliau memuat naik aksi itu menerusi akaun TikToknya, @hantubangkit88 seterusnya menerima lebih 71 ribu tontonan.
Menerusi temu ramah di sebuah stesen televisyen di Kuala Lumpur, sejak tahun 2020 lagi Olimpik di Tokyo, katanya sudah merancang untuk memberikan sokongan kepada pasukan Olimpik Malaysia namun masa itu dunia dilanda pandemik COVID-19.
Yap menggunakan duit sendiri dengan kos perbelanjaan sebanyak RM12,000 ke Olimpik Paris bagi memberikan sokongan padu kepada para atlet Malaysia yang bertanding demi memburu emas pertama.
Malahan tahun ini, beliau pernah ke Asian Cup Qatar dan Kyrgyzstan bagi memberikan sokongan kepada pemain bola sepak negara.