
KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah terkandas di peringkat separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 apabila tewas kepada pasangan China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan, sebentar tadi.
Pada aksi di Porte de La Chapelle Arena, Pearly-Thinaah terpaksa akur apabila tewas menerusi pertarungan tiga set dalam tempoh 78 minit.
Pearly-Thinaah bermula sedikit goyah dan ketinggalan sejak awal permainan tewas 12-21 pada set pertama.
Corak permainan lebih kemas yang dipamerkan Pearly-Thinaah menyaksikan mereka bangkit meraih kemenangan 21-18 pada set kedua dan mengheret perlawanan ke set penentuan.
Meskipun turut memberikan saingan sengit pada set penentuan, namun kebangkitan itu tidak berjaya diteruskan pasangan negara apabila Qing Chen-Yi Fan menutup permainan dengan kemenangan 21-15 untuk meraih tiket ke final.
Ia kekalahan kedua Pearly-Thinaah kepada pasangan di ranking teratas dunia itu dalam Sukan Olimpik Paris selepas tewas 17-21, 20-22 pada aksi peringkat Kumpulan A, Sabtu lalu.
Pearly-Thinaah akan menentang sama ada satu lagi pasangan China, Liu Shengshu-Tan Ning atau wakil Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dalam penentuan pingat gangsa.