PUTRAJAYA – Terdapat keperluan buat kerajaan mengkhususkan Rang Undang-Undang (RUU) tahanan di rumah yang bakal dibentangkan di Parlimen tahun depan hanya kepada pesalah jenayah kecil sahaja.
Penganalisis politik dan hubungan antarabangsa, Nur Ashikin Yusof berkata, hukuman tahanan di rumah tidak boleh diberikan kepada pesalah jenayah berat seperti membunuh mahupun merogol, sebaliknya kepada pesalah jenayah berbentuk sosial.
Menurutnya, undang-undang terbabit perlu dikhususkan kepada kesalahan jenayah kecil bagi mengelakkan pesalah bercampur dengan penjenayah berat sekiranya mereka ditempatkan dalam penjara, berikutan budaya negatif mampu membugar yang dibimbangi akan menjadi ikutan apabila dibebaskan.

“Sebagai contoh, bagi mereka yang mencuri namun bukan untuk menjadi kaya tetapi terdesak, terpaksa mencuri bagi menyara keluarga mereka. Ada yang menjadi banduan hanya kerana mencuri satu tin susu bagi kelangsungan anak-anak mereka yang masih kecil.
“Dalam hal ini, kemungkinan mereka ini hanyalah kerja biasa, buat hanya untuk menyara hidup dia, keluarga terpaksa masuk penjara dan dalam keadaan itu, dia akan hilang pekerjaan, hilang mata pencarian. Justeru, perintah tahanan rumah amatlah sesuai untuk golongan seperti ini,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press.
Dalam pada itu, Nur Ashikin menegaskan pelbagai pihak perlu terbuka untuk menerima RUU tahanan di rumah, dan tidak terlalu menghukum kerajaan bahawa undang-undang itu adalah sebagai usaha bagi membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Kerajaan telah pun memaklumkan bahawa sudah setahun penelitian, kajian dilakukan sebelum perkara ini diuar-uarkan kepada awam. Penggubalan akta baharu itu adalah usaha kerajaan mengurangkan kos perbelanjaan tahanan dan operasi penjara kerana ketika ini kapasitinya telah melebihi daripada yang dimiliki oleh Jabatan Penjara.
“Lagipun, RUU akan dibentang tahun hadapan yang membuktikan kerajaan masih lagi merangka secara sistematik bagi memastikan ia dilaksana secara holisitik tanpa ada kelompangan yang berlaku. Mustahil kerajaan hendak memperjudikan tahanan lain semata-mata untuk membebaskan Najib,” katanya.
Jurucakap kerajaan perpaduan sebelum ini menafikan dakwaan tahanan di rumah digubal untuk membebaskan Najib mahupun orang kenamaan (VVIP).
Katanya, perbincangan bagi memulakan akta terbabit telah bermula seawal tahun lalu, selepas kerajaaan mahu melaksana peralihan pandangan daripada dasar ‘punitive’ kepada keadilan ‘restorative’.
Sementara itu, Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim, berkata hasrat kerajaan untuk menggubal RUU terbabit perlu mengambil kira pandangan semua pihak.

Beliau melahirkan kebimbangan pelaksanaan akta itu jika direalisasikan kemungkinan mendorong kepada penambahan kes kesalahan kecil berikutan wujud pemikiran pesalah tidak akan masuk penjara, sebaliknya hanya ditahan di rumah sahaja.
“Pandangan seperti daripada Jabatan Penjara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak kesihatan dan peguam itu penting bagi memastikan tiada kelompangan pada undang-undang terbabit.
“Perlu ada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan perintah tahanan di rumah tegas kerana ia tetap akan memberi risiko tinggi, mungkin ada rakan datang melawat dan sebagainya,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.
Pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan bersesuaian iaitu rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat ditetapkan dan dipantau Pegawai Penjara.
Sebelum ini, kerajaan secara prinsip bersetuju memulakan Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) menerusi tahanan di rumah kepada banduan yang menjalani hukuman empat tahun dan ke bawah sebagai usaha mengurangkan kesesakan penjara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dilaporkan berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam proses meneliti kaedah pelaksanaan inisiatif itu dari sudut peruntukan undang-undang berkaitan bagi memastikan sama ada akta serta peraturan sedia ada perlu digubal atau tidak.








