KOTA KINABALU – Usia 74 tahun tidak menjadi penghalang bagi Saidatul Badrul Mohd Said mengenggam skrol Ijazah Doktor Falsafah (PhD) bidang Sejarah dalam Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-26 di sini pada Sabtu.
Menurutnya, usia bukan satu penghalang untuk menuntut ilmu jika ada kemahuan dan semangat untuk melakar kejayaan.
“Umur tu jangan difikir, jadi teruskan sahaja kalau mahu, tapi kemahuan sahaja tidak cukup ia mesti dilengkapi dengan semangat.
“Bagi mereka yang berusia, kita terus belajar dan tekun cuba untuk tidak jadikan usia sebagai masalah, kita hanya perlu fokus,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen.
Saidatul turut berkongsi perjalanan pencapaiannya yang mana beliau mengambil Ijazah Sarjana Muda pada usia 40 tahun dan Ijazah Sarjana ketika berusia 55 tahun dan seterusnya kini menggenggam PhD di usia 74 tahun.
Katanya, dirinya sendiri merupakan pendorong utamanya dalam mencapai kejayaan ini selain daripada keluarga.
“Diri sendiri adalah penyokong utama saya dan sudah tentu suami, anak-anak dan cucu-cucu.
“Kalau ada kemahuan tapi tanpa semangat memang sukar kerana kita kena lebih teliti dalam menuntut ilmu.
“Sebenarnya ini satu pencapaian saya, kemahuan saya mahu menuntut ilmu dan tanpa doa susah juga mau dapat ni,” katanya lagi.
Dia berharap perjalanan pencapaiannya dapat menjadi penyuntik semangat kepada mereka yang mahu melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi.




