
RANAU – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menghargai keputusan kerajaan tidak meneruskan cadangan garis panduan kepada umat Islam untuk menghadiri acara yang dianjurkan oleh penganut agama lain, khususnya di rumah ibadat bukan Islam.
Menurut Presidennya, Datuk Ewon Benedick keputusan itu menonjolkan semangat toleransi kepada kepelbagaian kaum dan agama serta menghormati kematangan penganut agama Islam di negara ini.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengesahkan mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan telah membincangkan isu yang timbul susulan laporan media yang menyebut mengenai cadangan mewujudkan garis panduan tersebut.
“Perdana Menteri telah membuka ruang kepada ahli-ahli kabinet untuk menyuarakan pandangan masing-masing. Saya di antara yang telah menyatakan pandangan dalam mesyuarat Kabinet kelmarin.
“Susulan itu, Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan keputusan Kerajaan MADANI iaitu tiada keperluan untuk meneruskan cadangan pengujudan garis panduan tersebut.
“Keputusan itu bagi menghormati kematangan umat Islam dalam menimbang apa yang boleh dan tidak boleh dibuat semasa menghadiri acara-acara yang dianjurkan oleh penganut agama lain.
“Kerajaan MADANI juga mahu memperkasakan toleransi agama serta kebersamaan rakyat majmuk,” katanya.
Ewon berkata demikian semasa berucap di sambutan Tahun Baru Cina anjuran UPKO Bahagian Ranau di Kg Lasing pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan komitmen Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk terus membangunkan sektor keusahawanan dan koperasi di Sabah melalui fokus tambahan di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara yang beliau sedang laksanakan.
“Di bawah inisiatif dasar ini, kita telah memulakan pelaksanaan projek premis Tamu Desa di Sabah dan Sarawak, geran usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak (BEEP Plus), skim pembiayaan usahawan tamu, bantuan khas koperasi pelancongan di bawah Program JEJAK Koperasi, pembangunan studio TEKUN TikTok Shop serta perluasan capaian perkhidmatan dan penganjuran pelbagai inisiatif baharu di Sabah dan Sarawak.
“Antara yang mendapat manfaat di bawah inisiatif dasar ini adalah usahawan dan koperasi di daerah Ranau termasuk dua premis Tamu Desa yang sudah disiapkan pada tahun lalu,” ujarnya.