
KUANTAN – Hubungan Barisan Nasional (BN) Pahang bersama MCA negeri tidak terjejas walaupun berdepan pelbagai isu.
Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang optimis dengan hubungan baik itu berharap kedua-dua parti dapat merampas sebanyak mungkin kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
“Saya tengok semangat BN masih kental dan Insya-Allah kita akan bangkit semula seperti sebelum 2018.
“Hubungan BN Pahang dan MCA di negeri ini sangat baik dan dari semasa ke semasa, kita bincang strategi dan hala tuju parti,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 anjuran MCA Pahang di Mentakab, dekat Temerloh, hari ini.
Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi, Inovasi dan Alam Sekitar, Datuk Mohamad Nizar Najib dan Pengerusi MCA Pahang, Datuk Chong Sin Woon.
Jelas Wan Rosdy, hubungan baik dengan parti itu juga dapat dilihat dengan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan iaitu Ketua MCA Bahagian Temerloh, Datuk Wong Tat Chee.
“Kita minta orang MCA tidak putus asa, jangan bimbang dengan apa yang berlaku kerana mungkin ini masalah sementara sahaja.
“Sekarang ini, kita dengan rakan-rakan lain tengah merancang untuk mendapatkan kembali dua pertiga kerusi di DUN Pahang dengan syarat tidak gaduh sesama kita, berpakat elok-elok, sabar dan bertoleransi tinggi,” jelasnya lagi.