PUTRAJAYA – Petronas Gas Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM450.19 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025, lebih rendah berbanding RM468.99 juta pada suku sama 2024.
Pendapatannya dalam suku itu merosot sebanyak 3.5 peratus atau RM57.7 juta kepada RM1.59 bilion.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2025, keuntungan bersih Petronas Gas merosot kepada RM918.98 juta berbanding RM925.64 juta.
Pendapatannya dalam tempoh itu merosot 2.5 peratus atau RM82 juta kepada RM3.18 bilion.
Lembaga Pengarah Petronas Gas meluluskan dividen interim kedua sebanyak 16 sen sesaham biasa berjumlah RM316.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Petronas Gas berkata, kemerosotan pendapatannya berikutan pendapatan lebih rendah daripada segmen utiliti.
Menurutnya, ia sejajar dengan harga produk dan segmen pengangkutan gas yang rendah susulan pelarasan tarif menurun berikutan faktor perkongsian bagi penggunaan gas dalaman yang lebih rendah tahun sebelumnya.
Mengenai prospek, Petronas Gas berkata, tinjauan prestasinya untuk 2025 dijangka kekal sihat, mencerminkan daya tahan dan kekuatan operasi yang berterusan.
Namun, ia berkata, penstrukturan semula tarif elektrik baru-baru ini di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4), bersama-sama dengan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkuat kuasa 1 Julai 2025, dijangka memberi tekanan ke atas kos operasi dan seterusnya memberi kesan kepada keuntungan.








