
GAZA – Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin (UNRWA) pada Ahad menggantung penghantaran bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza melalui laluan Kerem Shalom yang dikuasai Israel kerana masalah keselamatan, lapor Anadolu.
“Kami menghentikan penghantaran bantuan melalui Kerem Shalom, laluan utama untuk bantuan kemanusiaan ke Gaza. Jalan keluar dari laluan ini tidak selamat selama berbulan-bulan,” kata Pesuruhjaya Jeneral UNRWA, Philippe Lazzarini, dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, konvoi besar bantuan yang memasuki wilayah itu telah dirampas oleh kumpulan bersenjata bulan lalu.
“Semalam, kami cuba membawa beberapa trak makanan melalui laluan yang sama. Semuanya dirampas.
“Keputusan yang sukar ini diambil ketika masalah kebuluran semakin meruncing. Penghantaran bantuan kemanusiaan tidak seharusnya menjadi berbahaya atau berubah menjadi penderitaan,” katanya.
Ketua UNRWA itu berkata pengepungan berterusan oleh Israel, sekatan, kekurangan keselamatan, dan serangan terhadap pihak berkuasa tempatan menyebabkan operasi kemanusiaan di Gaza mustahil untuk dilaksanakan.
“Tanggungjawab melindungi pekerja dan bekalan bantuan adalah di tangan Negara Israel sebagai kuasa pendudukan. Mereka mesti memastikan aliran bantuan ke Gaza berjalan dengan selamat dan menghindari serangan terhadap pekerja kemanusiaan.
“Saya sekali lagi menyeru gencatan senjata yang juga akan memastikan penyaluran bantuan kepada mereka yang memerlukan secara selamat dan berterusan, kata Lazzarini.
Israel telah melancarkan perang genosida di Semenanjung Gaza selepas serangan rentas sempadan oleh kumpulan Palestin Hamas pada Oktober tahun lalu, yang telah menyebabkan hampir 44,400 orang terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 105,000 orang.
Tahun kedua genosida di Gaza telah mencetuskan kecaman antarabangsa yang semakin meningkat, dengan pegawai dan institusi melabelkan serangan serta sekatan terhadap bantuan sebagai usaha yang disengajakan untuk memusnahkan penduduk.
Pada 21 November, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga menghadapi kes genosida di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas perang berdarahnya di Gaza.








