
GAZA – Sekurang-kurangnya 15 orang awam Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera pada Sabtu dalam siri serangan udara Israel di selatan Khan Yunis, yang terletak di selatan Jalur Gaza, dan Bandar Gaza di utara kawasan tersebut.
Sumber perubatan melaporkan bahawa pesawat perang Israel telah menyasarkan sebuah kenderaan dan sekumpulan orang awam ketika mereka menerima bantuan tepung di kawasan Qizan al-Najjar di selatan Khan Yunis, menyebabkan lapan orang awam yang tidak bersalah terbunuh, lapor Agensi WAFA.
Sementara itu, tujuh orang awam Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan Israel yang menyasarkan sebuah rumah di kawasan kejiranan Shuja’iyya di timur Bandar Gaza.
Pesawat perang rejim Israel turut mengebom sebuah rumah di kawasan al-Rimal di tengah Bandar Gaza, menyebabkan tujuh orang terbunuh.
Awal pagi Sabtu, lima orang Palestin terbunuh, termasuk tiga pekerja dari Organisasi World Central Kitchen, apabila Israel memgebom sebuah kenderaan awam di Jalan Salah al-Din di kawasan al-Satar al-Sharqi di timur laut Khan Yunis, di selatan Jalur Gaza.
Serangan agresif Israel yang berterusan ke atas Gaza sejak Oktober 2023 sehingga kini telah menyebabkan sekurang-kurangnya 44,363 kematian rakyat Palestin dengan lebih 105,070 yang lain mengalami kecederaan.
Malah ribuan mangsa dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan, tidak dapat diakses oleh pasukan kecemasan dan pertahanan awam akibat serangan Israel.
Serangan pembunuhan beramai-ramai Israel berterusan tanpa henti meskipun terdapat desakan dari Majlis Keselamatan PBB untuk gencatan senjata segera dan arahan dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang menggesa langkah-langkah untuk mengelakkan pembunuhan beramai-ramai dan meleraikan keadaan kemanusiaan yang kritikal di Gaza.






