
PENAMPANG – Majlis Perbandaran Penampang (MPP) kini diiktiraf sebagai bangunan hijau atas usahanya dalam menjadi peneraju pentadbiran tempatan berasaskan kelestarian kelestarian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang berkata, sebagai seorang yang komited terhadap dasar kelestarian dan pembangunan mampan, beliau amat menyokong usaha MPP dalam menerajui pembangunan daerah berasaskan nilai alam sekitar, daya tahan bandar serta keterlibatan masyarakat secara aktif.
“MPP telah membuktikan bahawa pihak berkuasa tempatan mampu menjadi pemacu utama dalam menjayakan Agenda Pembangunan Mampan, khususnya dalam aspek infrastruktur hijau, keterangkuman digital dan tadbir urus berdaya tahan.
“Pencapaian ini menjadi penanda aras baharu dalam kepimpinan tempatan yang progresif dan berorientasikan masa depan,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Mengulas mengenai sistem e-ADU dan Command Center MPP yang baru dilancarkan MPP hari ini, Jannie berkata ia akan memperkukuh keberkesanan perkhidmatan dan mendekatkan pentadbiran tempatan kepada rakyat.
“Pelancaran sistem e-ADU juga dilihat sebagai satu inisiatif penting untuk memudahkan orang ramai menyampaikan aduan, pandangan dan maklum balas secara terus kepada MPP.
“Saya yakin sistem ini bukan sahaja akan mempercepatkan tindakan, malan memperkukuh komunikasi dua hala antara rakyat dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Jelasnya, beliau akan terus menggerakkan pelbagai inisiatif hijau yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di peringkat DUN Kapayan.
“Antara inisiatifnya termasuk program Rainwater Harvesting, aktiviti kitar semula dan upcycling, pembuatan mudball bersama pelajar SMK Bahang, pembinaan perangkap sampah pertama di Kapayan.
“Ini termasuk sokongan kepada Pesta Sungai yang memberi tumpuan kepada isu pencemaran tujuh batang parit utama yang mengalir ke Sungai Moyog,” tambahnya.








