
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isterinya, Toh Puan Fauziah Mohamad Sanusi, dijadualkan akan menghadiri sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024 yang berlangsung di Sibu pada 31 Ogos 2024.
Sambutan yang bertemakan “Jiwa Merdeka” ini akan diadakan dengan tiga acara utama yang berlangsung dari 30 hingga 31 Ogos.
“Pemilihan Sibu sebagai lokasi sambutan adalah tepat, kerana ia mencerminkan keharmonian yang wujud di kalangan rakyat Sarawak, tanpa mengira bangsa dan agama”, kata Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Seri John Sikie Tayai.
“Selain itu, ketua-ketua kaum dan masyarakat daripada pelbagai etnik juga akan diundang untuk memeriahkan acara tersebut”, tambah beliau.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, juga dijangka hadir.
Antara acara yang menarik ialah Konsert Ambang Hari Kebangsaan pada 30 Ogos, acara Fun Walk pada pagi 31 Ogos dengan penyertaan sekitar 5,000 peserta, dan Perhimpunan Sambutan Hari Kebangsaan yang akan diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, UTS Sibu.
Acara kemuncak ini juga akan menampilkan persembahan kebudayaan dan nyanyian lagu-lagu patriotik oleh artis Sarawak serta artis popular tempatan lainnya.





