
SANDAKAN – Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan bahawa menuntut kepimpinan kerajaan yang telus, berintegriti dan berkhidmat kepada rakyat adalah hak demokratik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) demi memastikan pentadbiran negeri lebih baik.
Menurutnya, isu menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini berpunca daripada rasa tidak puas hati sebahagian pihak terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri yang dianggap tidak menepati persefahaman politik awal antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Pengkhianatan sebenar bukan pada gerakan itu, tetapi pada Datuk Shahelmey Yahya yang sanggup menerima jawatan daripada menegakkan prinsip.
“Sejarah tidak menipu. Tanpa UMNO, Shahelmey hanyalah figura kecil.
“Tetapi lebih ironinya, pengkhianat parti kini cuba menuduh orang lain sebagai pengkhianat rakyat.
“Mandat rakyat juga tidak pernah diberikan kepada beliau secara peribadi, sebaliknya kepada parti,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata, Shahelmey sepatutnya mendahulukan kepentingan parti, namun memilih untuk menerima jawatan dalam Kerajaan Negeri.
Katanya, sebelum keputusan menarik sokongan dibuat, beliau bersama Datuk Mokran Ingkat telah mengadakan perbincangan dengan Shahelmey bagi mencari titik persamaan, namun ditolak.
“Penolakan itu bukan kerana prinsip, tetapi kerana dendam peribadi terhadap Warisan, khususnya selepas khidmat beliau sebagai Pengarah Urusan Borneo Highway PDP Sdn Bhd syarikat rakan pelaksana projek Lebuhraya Pan Borneo ditamatkan pada 2019,” katanya.
Beliau juga mendakwa Shahelmey kini menjadi liabiliti terbesar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berikutan video-video dikaitkan dengan isu skandal rasuah yang memberi persepsi negatif kepada rakyat.
“Rakyat Sabah tahu kestabilan yang beliau agungkan hanyalah kestabilan palsu, ibarat rumah di atas pasir yang akan runtuh apabila diuji,” ujarnya





