
KOTA KINABALU – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman diperkenan menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam.
Lawatan berkenaan berlangsung pada Khamis di negara Brunei Darussalam.
Turut hadir dalam pertemuan itu, isteri Sultan, Raja Isteri Pengiran Anak Saleha; isteri Musa, Toh Puan Faridah Tussin; Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dan isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, serta Menteri Pengiring, Pehin Datuk Lailaraja Maj. Gen. (R) Awang Halbi Mohd Yussof dan isteri, Datin Kalshom Suhaili.
Musa menerusi sebuah hantaran di laman sosial, menyatakan beliau mempunyai hubungan rapat dengan Sultan Hassanal Bolkiah sejak zaman beliau menjadi Ketua Menteri Sabah.
Katanya, ini menandakan lawatan pertama beliau sejak dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 1 Januari 2025.
Dalam kenyataan itu, turut dimaklumkan Musa dan Faridah menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh Sultan Hassanal dan isteri.






