
TAWAU – Susulan kemalangan tular di media sosial membabitkan sebuah kereta dan motosikal, Polis menyeru kerjasama orang awam yang merakam kejadian dan menyebarkannya di media sosial supaya tampil ke Bahagian Trafik, Ibu pejabat Polis Tawau bagi membantu siasatan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 12:30 tengah hari di Batu 5, Jalan Apas, pada Khamis.
“Berdasarkan rakaman dashcam yang telah tular di media sosial, kelihatan pemandu
Honda City meninggalkan lokasi kejadian selepas berlakunya kemalangan.
“Walau bagaimanapun, kedua-dua pihak yang terlibat telah tampil ke Bahagian Siasatan Trafik untuk membuat laporan rasmi,” katanya dalam kenyataan media, pada Jumaat.
Beliau berkata, hasil siasatan awal Polis mendapati, pemandu kereta berumur 58 tahun dari SMK Kinabutan sedang bergerak ke Batu 3, Jalan apas manakala penunggang motosikal berusia 28 tahun dari Batu 8 menuju ke bandar Tawau.
“Kemalangan berlaku semasa pemandu motokar mengubah haluan dari lorong kanan ke kiri, motosikal tiba-tiba memasuki laluan motokar menyebabkan berlakunya kemalangan.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami patah tangan kanan dan selepas kemalangan, pemandu motokar tidak berhenti serta terus melarikan diri,” katanya.
Kes ini disiasat di bawah Sek.52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu gagal berhenti selepas kemalangan dan Rule 6 LN 166/59 iaitu memotong cara bahaya.





