
KUCHING – Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah menzahirkan rasa dukacita yang mendalam susulan tragedi di Sibu Jaya yang mengorbankan tiga kanak-kanak kecil.
Menurut beliau, kehilangan nyawa kanak-kanak yang masih muda merupakan satu tragedi yang amat menyayat hati dan memberi kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarga mangsa, malah kepada seluruh masyarakat.
“Bagi pihak kementerian, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Doa dan ingatan kami bersama mereka dalam saat yang amat sukar ini. Semoga mereka dikurniakan kekuatan, ketabahan dan ketenangan dalam menghadapi kehilangan yang besar ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, memandangkan kes berkenaan kini berada dalam siasatan polis, semua pihak diminta memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan yang telus dan menyeluruh.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi serta menghormati proses siasatan dan privasi keluarga mangsa yang sedang berduka,” tambahnya.
Dalam pada itu, Fatimah menegaskan tragedi berkenaan harus menjadi peringatan serius kepada semua pihak mengenai kepentingan memastikan persekitaran yang boleh diakses oleh kanak-kanak sentiasa selamat dan dilengkapi langkah perlindungan sewajarnya.

Menurut beliau, semua pihak berkepentingan perlu menilai semula dan memperkukuh langkah pencegahan bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak pada setiap masa.
“Perlindungan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama dan memerlukan kerjasama semua pihak,” tegasnya lagi.




