
LIMBANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Datuk Paulus Palu Ngumbang memaklumkan penyerahan cek peruntukan UNIFOR bagi tahun 2025 melibatkan jumlah keseluruhan RM975,000, dengan RM825,000 telah disalurkan pada tahun lalu manakala baki diserahkan pada tahun ini.
Menurut beliau, penyerahan cek fasa kedua tahun ini mengalami sedikit kelewatan, manakala sebelum ini sebanyak 11 cek bernilai RM1.5 juta telah diserahkan bagi fasa ketiga dan kini memasuki fasa keempat.
Paulus berkata, semua penerima peruntukan UNIFOR diwajibkan mengemukakan laporan perbelanjaan dua kali setahun, iaitu pada 1 Mac dan 1 Disember, termasuk laporan ‘tiada perbelanjaan’ sekiranya dana belum digunakan.
“Langkah ini penting bagi memudahkan pemantauan dan mengelakkan sebarang masalah pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pemohon agar tidak membuat anggaran kos projek yang terlalu tinggi kerana pihak UNIFOR mempunyai juruukur bahan (QS) bagi menilai kos sebenar.
“Sebagai contoh, peruntukan RM150,000 hanya mencukupi untuk kerja asas seperti bumbung dan tiang sahaja,” jelasnya.
Mengulas prosedur permohonan, Paulus memaklumkan bahawa mulai tahun ini semua permohonan UNIFOR dibuat secara dalam talian dan perlu melalui pusat khidmat serta wakil rakyat kawasan bagi tujuan penamaan dan pemantauan, termasuk bagi kawasan rumah panjang.
Dalam ucapannya, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua ketua masyarakat dan ketua kaum atas kenaikan elaun, namun memaklumkan masih terdapat yang belum menerima surat lantikan berikutan pelaksanaan sistem baharu.
Selain itu, beliau mengingatkan semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya membentangkan bajet dan sumber kewangan dalam mesyuarat bagi memastikan ketelusan pengurusan dana.





