
BERMULA 1 Mei 2025, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan Operasi Gempur Penyelewengan Gas Petroleum Cecair (OPS GASAK 2025) sebagai sebahagian daripada gerakan besar-besaran ‘KITA GEMPUR’ yang bertujuan membanteras manipulasi dan ketirisan subsidi LPG.
Langkah ini dilaksanakan bagi memastikan bantuan subsidi kerajaan sampai kepada golongan yang benar-benar layak, khususnya pengguna domestik dan peniaga kecil.
Apakah itu subsidi LPG?
Subsidi LPG ialah bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan untuk menampung sebahagian kos harga Gas Petroleum Cecair (Liquefied Petroleum Gas – LPG) agar kekal mampu milik, terutamanya kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.
Melalui subsidi ini, harga LPG domestik dikawal agar lebih rendah daripada harga pasaran sebenar, sekali gus membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Harga LPG bersubsidi
Harga LPG bersubsidi dikawal di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan kadar RM1.90 sekilogram, menjadikan harga silinder 14kg bersubsidi adalah sebanyak RM26.60.
Hanya tong bersaiz 10kg, 12kg dan 14kg dibenarkan untuk kegunaan domestik dan dijual pada harga terkawal.

Siapa yang layak terima subsidi?
Golongan yang layak menerima subsidi LPG ialah:
- Pengguna isi rumah (domestik)
- Golongan berpendapatan rendah (B40)
- Pengusaha warung dan peniaga kecil
Penggunaan melebihi 42kg (lebih daripada tiga tong 14kg pada satu masa) dianggap sebagai penggunaan komersial dan memerlukan permit khas. Dalam kes ini, pengguna perlu beralih kepada LPG komersial yang tidak disubsidi.
Sektor tidak layak terima subsidi
Antara sektor yang tidak layak menerima LPG bersubsidi termasuk:
- Industri perkilangan
- Restoran berskala besar
- Dobi
- Penternakan
- Perniagaan yang menggunakan LPG dalam kuantiti besar
Sektor ini wajib menggunakan LPG komersial seperti tong gas berwarna ungu (contohnya, tong gas komersial Petronas).
Apa itu tong gas ungu?
Tong gas berwarna ungu diperkenalkan sebagai penanda khas bagi membezakan penggunaan antara sektor domestik dan komersial.
Sekiranya penggunaan melebihi 42kg pada satu masa, pengguna perlu memohon Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB) bagi membolehkan penggunaan LPG komersial. Permohonan boleh dilakukan secara dalam talian, menjadikan proses lebih mudah dan telus.
Permohonan Permit (PBKB)
Jika penggunaan melebihi 42kg pada satu masa, peniaga perlu memohon PBKB. Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui:
- Sistem BLESS 2.0
- Atau di pejabat KPDN negeri/cawangan

Soalan Lazim Orang Ramai
1. Adakah subsidi LPG masih dikekalkan untuk isi rumah?
YA, subsidi masih dikekalkan untuk kegunaan domestik, terutamanya golongan B40.
2. Adakah warung dan peniaga kecil masih layak?
YA, pengusaha kecil masih layak menggunakan LPG bersubsidi, selagi tidak melebihi had penggunaan yang ditetapkan.
3. Adakah harga akan naik untuk pengguna biasa?
TIDAK. Harga LPG bersubsidi kekal dikawal pada RM1.90/kg dan tidak terjejas untuk pengguna yang layak.



Apakah Tujuan OPS GASAK?
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh KPDN, OPS GASAK diwujudkan bagi membanteras dua bentuk penyelewengan utama:
- Aktiviti haram ‘Decanting’
Merujuk kepada pemindahan LPG daripada tong bersubsidi ke tong tidak bersubsidi bagi tujuan komersial atau penyeludupan. Aktiviti ini menyalahi undang-undang dan menjejaskan bekalan serta matlamat asal subsidi.
- Penggunaan tidak sah oleh sektor komersial
Subsidi LPG hanya untuk pengguna domestik dan perniagaan kecil. Ia tidak boleh digunakan oleh industri sederhana dan besar yang seharusnya menggunakan LPG tidak bersubsidi.
Asas Perundangan OPS GASAK
Tindakan penguatkuasaan berlandaskan:
- Akta Kawalan Bekalan 1961
- Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011
- Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 (berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021)
Peraturan ini menetapkan bahawa penggunaan LPG melebihi 42 kilogram (kg) pada satu masa memerlukan Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).



Fakta Penting Tentang Subsidi LPG
1. Subsidi LPG bukan dasar baharu
Subsidi LPG telah diperkenalkan sejak 2021, dan bukannya dasar baharu. Ia diteruskan oleh kerajaan kini bagi memastikan harga gas memasak kekal mampu milik untuk rakyat.

2. OPS GASAK fokus kepada penyeleweng, bukan rakyat
Tindakan penguatkuasaan hanya dikenakan terhadap pihak yang menyalahgunakan subsidi, termasuk:
- Industri menggunakan LPG bersubsidi secara tidak sah
- Aktiviti decanting
OPS GASAK bukan bertujuan menindas rakyat, sebaliknya memastikan keadilan dalam pengagihan subsidi.

Kerajaan memberi jaminan bahawa subsidi LPG untuk rakyat masih dikekalkan. OPS GASAK 2025 bukan bertujuan untuk menyusahkan rakyat, sebaliknya memfokuskan kepada penguatkuasaan terhadap penyelewengan berskala besar yang menjejaskan peruntukan subsidi negara.
Pengguna domestik dan peniaga kecil tidak perlu panik. Selagi penggunaan adalah dalam had yang dibenarkan, subsidi akan terus dinikmati seperti biasa.
Pertanyaan dan maklumat lanjut
Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, anda boleh:
- Layari laman web rasmi KPDN untuk info terkini mengenai subsidi LPG dan OPS GASAK.
- Hantar mesej melalui WhatsApp ke 019-641 6768 untuk bantuan segera.
- Kunjungi pejabat KPDN terdekat bagi urusan berkaitan permit atau maklumat lanjut.










