
KOTA KINABALU – Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong wajar dijadikan pedoman bersama, khususnya dalam mengurus isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sering diperbahaskan secara terbuka dan memerlukan kebijaksanaan semua pihak demi kepentingan bersama.
Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Azrul Ibrahim berkata, penegasan Baginda supaya semua pihak kembali menghayati semangat asal penubuhan Malaysia yang berpaksikan perpaduan, saling menghormati serta kerjasama erat antara Sabah, Sarawak, Semenanjung dan Kerajaan Persekutuan merupakan satu peringatan yang sangat bertepatan pada masanya.
“Malaysia tidak dibina atas perbezaan pandangan yang memisahkan, sebaliknya atas semangat perkongsian, kepercayaan dan tanggungjawab bersama.
“Sebagai anak muda Sabah, kami menuntut hak bukan untuk memecahbelahkan tetapi untuk memperkukuh Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha menuntut dan menunaikan hak Sabah di bawah MA63, khususnya berkaitan Pemberian Khas 40 peratus hasil Sabah, terus diperkasakan melalui komitmen berterusan Kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan.
Jelasnya, pendekatan berunding, berfakta dan berlandaskan Perlembagaan telah membuahkan kemajuan yang signifikan apabila beberapa tuntutan MA63 berjaya direalisasikan, sementara usaha melengkapkan tuntutan lain sedang diteruskan secara berperingkat dan penuh kesepakatan.
“Ini membuktikan bahawa ketegasan tidak memerlukan retorika dan keberanian tidak menuntut hasutan,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyatakan titah Baginda berkenaan hak-hak negeri dihormati tanpa mengabaikan kepentingan Malaysia secara keseluruhan perlu difahami secara seimbang dan matang.
Tambahnya, memperjuangkan hak Sabah bukan bermakna menafikan semangat Persekutuan, sebaliknya pembangunan yang adil dan bermaruah akan memperkukuh kemajuan, kestabilan dan perpaduan negara.
Azrul turut menegaskan golongan pemuda khususnya harus menolak politik yang memperbesarkan perbezaan pandangan dan menggantikannya dengan politik solusi yang berasaskan kebijaksanaan, integriti serta rasa tanggungjawab.
“Seperti yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda, setiap keputusan politik hari ini bukan sekadar pendirian parti, tetapi penentu masa depan negara,” katanya.





