
BATU PAHAT – Tiada sebarang laporan diterima polis daerah ini berhubung seorang jemaah haji dari Johor yang didakwa menjadi mangsa penipuan agensi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, bagaimanapun, siasatan telah mula dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mantin di mana berlakunya transaksi duit dalam daerah berkenaan.
Menurut beliau, jemaah berusia 63 tahun yang berasal dari Batu Pahat itu merupakan salah seorang daripada 49 jemaah haji yang didakwa dikurung dan dipaksa melalui jalan sukar untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu.
“Mangsa dikatakan seorang peniaga di daerah ini telah mendakwa ditipu seorang ‘agamawan’. Bagaimanapun, polis Batu Pahat belum menerima sebarang laporan daripada waris berkaitan kejadian itu,” katanya kepada pemberita.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pihaknya bersedia memberikan bantuan yang diperlukan oleh pihak berkuasa dalam penyelesaian isu ini termasuk mendidik masyarakat agar lebih berhati-hati dalam mengelakkan insiden perdayaan seperti ini berterusan.
“Mereka didakwa dikurung dan diarahkan melalui laluan berbahaya bagi tujuan mengerjakan haji tanpa kebenaran dan visa yang sah.
“Kita menasihati waris kepada jemaah haji yang terpedaya tersebut agar terus bersabar dan memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan lanjut,” katanya.




