
PENAMPANG – Inisiatif kerajaan menerusi Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang dilaksanakan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dilihat merealisasikan hasrat golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan, Jannie Lasimbang berkata, program ini memberi peluang kepada rakyat yang tidak berkemampuan untuk membeli rumah secara konvensional, melalui subsidi dan kemudahan pinjaman yang disediakan oleh SPNB.
“Rumah yang diterima bukan sekadar tempat berteduh, tetapi merupakan satu amanah dan titik permulaan kepada kehidupan yang lebih baik.
“Hari ini lima penerima akan menerima kunci rumah dan lima lagi bakal menerima surat tawaran pembinaan rumah yang dijadualkan bermula dalam masa terdekat.
“Saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Kunci & Penyerahan Surat Tawaran RMR di Kampung Kapayan, Penampang, di sini, pada Isnin.

Jelas Jannie, sejak program RMR diperkenalkan, sebanyak 71,847 unit telah dibina dan diserahkan kepada golongan yang memerlukan di seluruh negara termasuk 2,568 unit yang siap dibina setakat Jun tahun ini, di Sabah.
“Kerajaan Sabah akan terus menyokong usaha SPNB dan agensi perumahan lain bagi memastikan tiada rakyat yang terpinggir daripada peluang memiliki rumah sendiri.
“Kita sedar kos sara hidup semakin meningkat dan harga bahan binaan tidak menurun, bagaimanapun, komitmen kerajaan dalam membela rakyat kecil tidak pernah goyah,” katanya.
Tambahnya, Kementerian Kewangan komited memastikan peruntukan bagi pembangunan rakyat termasuk perumahan, kemudahan asas dan kesejahteraan sosial, kekal menjadi keutamaan dalam perancangan kewangan negeri.





