
PUTRAJAYA – Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) yang dilancarkan hari ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi bencana dan kecemasan di kawasan awam.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, sistem PRIME merupakan satu inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang direka bentuk sebagai sistem komunikasi bersepadu secara bergerak, bagi menyokong operasi bantuan yang dijalankan oleh MCMC serta pasukan penyelamat.
“Sistem ini menggabungkan pelbagai teknologi seperti satelit, selular, radio mudah alih, Wi-Fi dan dron. Ia berupaya menyediakan sambungan komunikasi yang boleh dipercayai serta fleksibel, bersesuaian dengan keperluan operasi di kawasan yang mencabar,” jelas beliau dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran PRIME yang berlangsung di Putrajaya pada Isnin.
Tambah beliau, sistem tersebut merupakan usaha MCMC untuk membantu agensi-agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi memastikan komunikasi dapat dikekalkan dalam kawasan operasi bencana, bukan sahaja untuk petugas, tetapi juga bagi mangsa yang diselamatkan.
“Harapan kita agar sistem PRIME ini dapat memudahkan urusan penyampaian maklumat dan saluran komunikasi kepada pasukan petugas di lapangan,” katanya.
Dari sudut teknikal, PRIME direka bentuk dengan keupayaan menggabungkan sambungan satelit dan rangkaian selular bagi membolehkan capaian internet berkelajuan tinggi disediakan secara lebih stabil dan efisien.
Capaian internet yang disediakan boleh meliputi kawasan sehingga 150 meter di sekitar kenderaan PRIME, dengan bantuan titik capaian Wi-Fi yang mampu memperluas liputan apabila diperlukan.
Selain itu, sistem ini turut dilengkapi dengan kemudahan radio mudah alih yang membolehkan komunikasi dijalankan di kawasan yang langsung tidak mempunyai liputan rangkaian.
Bagi memperluas lagi liputan kawasan operasi, teknologi jejaring Wi-Fi (mesh Wi-Fi) dan penggunaan dron turut diintegrasikan untuk memanjangkan isyarat komunikasi.
Fahmi turut memaklumkan bahawa sistem PRIME bukan sahaja akan digunakan dalam pengurusan bencana dan kecemasan, malah akan dimanfaatkan dalam program jangkauan komuniti seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), yang berfungsi sebagai hab digital bagi komuniti setempat.
Katanya, sebanyak tiga unit PRIME akan dibangunkan secara berperingkat sepanjang tahun ini, dengan unit pertama telah siap dan akan ditempatkan di Ibu Pejabat MCMC bagi menyokong pelaksanaan operasi di Semenanjung Malaysia.
“Unit kedua dan ketiga dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat tahun ini dan masing-masing akan ditempatkan di Pejabat MCMC di Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, setiap unit PRIME dibangunkan dengan kos sebanyak RM1 juta, menjadikan keseluruhan kos bagi tiga unit tersebut sebanyak RM3 juta.




